Sebelum bengkel
Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh pihak penganjur, fasilitator dan nara sumber sebelum bengkel. Hal ini termasuklah:
Kenalpasti objektif bengkel
Sebagai penganjur dan fasilitator perkara pertama yang anda harus lakukan ialah untuk mengenalpasti objektif bengkel pada awal tahap perancangan bengkel. Berikut adalah antara soalan-soalan yang boleh kemukakan kepada diri anda dalam menentukan objektif bengkel anda:
Apakah tujuan bengkel anda?
Apakah masalah atau isu yang bengkel ini cuba tangani atau rungkai?
Apakah yang anda mahu lihat daripada bengkel ini?
Siapakah kumpulan sasaran anda?
Apakah kriteria kejayaan untuk anda ketahui sama ada peserta anda memenuhi objektif bengkel anda? Sebagai contoh, pada penghujung bengkel atau sesi, anda mahu para peserta untuk lebih memahami terma SOGIESC.
Apakah yang anda mahu para peserta perolehi daripada bengkel yang anda jalankan?
Kenali peserta bengkel
Peserta merupakan fokus utama sesebuah bengkel. Sebagai penganjur dan fasilitator, mengenali para peserta boleh membantu anda membuat persiapan bengkel dan meningkatkan ketersediaan fasilitator untuk mengadaptasi bengkel dengan kehendak serta tahap pemahaman para peserta.
Mengenali di sini bermaksud mengenali:
siapa peserta anda; dan
apa keperluan mereka. Anda juga digalakkan untuk melakukan penilaian keperluan (needs assessment) sebelum merancang bengkel.
Dalam mengenali para peserta, berikut adalah antara pertanyaan-pertanyaan yang anda boleh bertanya kepada diri anda:
Kenapa mereka mahu mengikuti bengkel anda? Mengetahui tujuan para peserta mahu menyertai bengkel anda penting dalam memahami jangkaan dan kehendak peserta. Hal ini boleh membantu dalam merangka program yang bermanfaat bagi semua pihak.
Apa yang peserta sudah tahu setakat ini? Anda boleh mengumpul maklumat berkenaan latar belakang peserta yang relevan, pemahaman dan pengalaman berkenaan topik pembelajaran dałam bengkel atau sesi sebelum bengkel berlangsung melalui borang pendaftaran bengkel. Maklumat ini berguna dalam memadankan objektif anda dengan tahap pemahaman, keperluan, dan jangkaan mereka. Mengetahui konteks pengalaman peserta dapat membantu anda untuk memfasilitasi ruang ini bersama-sama mereka.
Apakah bidang kerja atau personaliti mereka? Bidang kerja dan personaliti seseorang boleh menjadikan seseorang itu mungkin lebih berani bersuara atau retrospektif lebih daripada orang orang lain. Anda perlu kreatif untuk bersedia membuatkan setiap peserta berasa mereka tidak terpinggir dan pendapat mereka didengari, tidak kira siapa mereka.
Adakah mereka kenal sama sendiri? Jika ya, peserta mungkin lebih selesa berkongsi pendapat dan pengalaman.
Adakah mereka akan hadir dengan perspektif sedia ada berkenaan topik yang akan dibincangkan dalam bengkel anda? Sebagai contohnya, adakah anda akan memperkenalkan konsep baru atau teknik yang mungkin bertentangan dengan apa yang mereka sedia praktikkan? Anda perlu bersedia untuk menangani keraguan atau kemungkinan yang para peserta mungkin tidak akan bersetuju dengan maklumat yang disampaikan. Mereka mungkin lebih cenderung untuk berpihak kepada anda jika anda dapat menawarkan penyelesaian baharu kepada masalah yang mereka berhadapan sekian lama.
Merangka program
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dipertimbangkan semasa merangka program bagi satu-satu bengkel:
Agenda yang seimbang. Elakkan daripada mencampuradukkan beberapa topik yang berat dalam 1 hari semasa merangka sesi/program.
Masa untuk refleksi, berbincang, dan berehat. Bengkel adalah ruangan di mana setiap peserta dapat bertukar-tukar fikiran dua hala. Oleh itu, peruntukkan masa yang mencukupi untuk refleksi, perbincangan, input daripada peserta. Selain itu, pastikan waktu rehat juga mencukupi.
Format dan teknik yang berbeza. Setiap orang belajar secara berbeza. Oleh yang demikian, penting untuk anda pertimbangan format dan teknik yang berbeza dalam menyampaikan maklumat. Hal ini boleh membantu peserta melibatkan diri, bertukar pandangan, menganalisis masalah, menjana idea, dan membuat keputusan dengan berkesan. Antara tips yang berguna:
Anda boleh cuba perbincangan terbuka, atau yang berstruktur.
Manfaatkan pembelajaran secara visual (melukis, melakar, kolaj, dan sebagainya), aktiviti berasaskan pergerakan atau main peranan (role play).
Guna teknik Dialog Sokratik. Teknik ini merangsang pemikiran secara kritis dan mengeluarkan idea-idea atau pendapat seseorang individu yang berlainan melalui soal dan jawab.
Selitkan juga unsur jenaka (sense of humour) yang tidak menyinggung perasaan, menyanyi, dan aktiviti yang menyeronokkan supaya tidak wujud rasa bosan.
Energizers dan grounding exercise. Latihan energizer bertujuan untuk meningkatkan tahap tenaga, dan memastikan para peserta tetap aktif dan terlibat semasa sesi latihan. Ada kalanya, perkongsian pengalaman dalam bengkel boleh mengaktifkan pengalaman trauma bagi peseta lain. Grounding exercise pula penting untuk membantu peserta kembali kepada masa sedia ada dan perasaan selamat, terutama selepas perbincangan yang berat dan mengaktifkan trauma.
Peka tentang tahap pemahaman peserta. Ini terutama penting jika topik yang diutarakan itu berat (heavy), atau peserta baru lepas makan tengahari. Peka dengan gerak tubuh peserta sama ada mereka bosan, penat, resah, mengantuk, dan sebagainya. Selitkan aktiviti, energizer, atau waktu rehat yang secukupnya mengikut pemerhatian dan keperluan.
Selitkan masa yang secukupnya bagi perkongsian pandangan dan renungan. Peruntukkan masa yang secukupnya untuk para peserta untuk perbincangan, berkongsi pendapat dan renung kembali (reflect) apa yang boleh mereka pelajari. Galakkan kritikan yang membina, jika ada, supaya semua peserta rasa selamat untuk berkongsi pandangan mereka.
Sumber tambahan. Sediakan bahan bacaan atau senarai bahan-bahan bagi peserta, sekiranya perlu.
Susun atur ruang bengkel & peralatan yang diperlukan
Bincang susun atur bilik atau tempat duduk peserta untuk memudahkan interaksi dan aktiviti-aktiviti bengkel. Selain itu, senaraikan peralatan yang ada perlukan sepanjang bengkel. Sebagai contoh, projektor, kertas mahjong, pita pelekat dan sebagainya. Ruang bengkel ada selalunya juga ditentukan mengikut keperluan bengkel.
Anda boleh melakukan penilaian keperluan (needs assessment) sebelum merancang bengkel atau selitkan soalan-soalan ini dalam borang penyertaan peserta. Sila rujuk contoh penilaian keperluan di bawah yang anda boleh gunakan untuk sesi anda.
Sila rujuk contoh pelan pembelajaran di bawah yang anda boleh sesuaikan untuk sesi anda.
Last updated