Ciri-ciri atau elemen memfasilitasi
Elemen-elemen memfasilitasi berikut adalah penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Hal ini berkait rapat dengan kemahiran, nilai, dan pengalaman fasilitator serta nara sumber:
Pupuk kepercayaan dan keterbukaan
Pupuk kepercayaan dan keterbukaan antara anda sebagai fasilitator atau nara sumber dengan para peserta. Apabila anda dipercayai oleh peserta, peserta akan lebih terbuka untuk mendengar dengan aktif, berkomunikasi, berbual, dan saling belajar. Anda boleh wujudkan keterbukaan dengan, sebagai contoh, mewujudkan ruang yang selamat dan memberikan keyakinan kepada peserta mereka boleh bertanya apa-apa soalan tanpa bersifat prejudis terhadap mana-mana kumpulan atau individu atau tiada soalan yang dikatakan 'soalan bodoh'.
Bersikap terbuka
Bersikap terbuka untuk mengaku kepada peserta apabila membuat kesilapan, atau tidak mengetahui tentang sesuatu perkara. Ambil peluang ini untuk anda belajar daripada dan sesama sendiri.
Sentiasa bersedia untuk menerima maklum balas
Sentiasa bersedia untuk menerima maklum balas daripada peserta, fasilitator lain, nara sumber atau pihak penganjur. Anda juga boleh meminta maklum balas daripada peserta atau lain-lain yang terlibat dalam bengkel berkenaan kemahiran fasilitasi anda, dan tidak kurang juga bagaimana anda boleh memperbaiki kemahiran memfasilitasi. Maklum balas berkenaan fasilitator, nara sumber, dan penganjur boleh dimasukkan dalam borang maklum balas peserta.
Berkebolehan untuk merungkai dan mengupas konsep-konsep yang kompleks kepada para peserta
Buat persiapan bersama fasilitator dan nara sumber tentang konsep-konsep yang perlu diketahui sebelum bengkel. Bukan itu sahaja, anda juga perlu belajar bagaimana untuk terangkan kepada para peserta dalam cara yang menarik dan efektif.
Sentiasa menghubungkan teori dan realiti peserta
Sentiasa menghubungkan teori dan realiti peserta untuk melahirkan rasa empati. Sebagai contohnya, sekiranya anda memfasilitasi perbincangan berkenaan bentuk-bentuk kuasa, anda boleh meminta para peserta untuk bercerita atau berkongsi mengenai bentuk-bentuk kuasa yang mereka lihat dalam kehidupan seharian mereka sebelum menerangkan teori kuasa. Gunakan atau balik semula kepada pengalaman yang para peserta kongsikan semasa anda menerangkan konsep atau teori.
Ambil langkah-langkah untuk mengekalkan tenaga para peserta
Ambil langkah-langkah untuk mengekalkan tenaga para peserta dalam bengkel atau sesi. Hal ini boleh dicapai dengan antara lain, memerhati tahap tenaga para peserta, menyelitkan masa rehat yang secukupnya, aktiviti energizer atau grounding, dan memberi ruang fleksibiliti dalam program bengkel untuk pengubahsuaian.
Rumuskan perkara utama dan kaitkan dengan objektif pembelajaran
Rumuskan perkara utama dan kaitkan dengan objektif pembelajaran. Sekiranya terdapat ruang, jemput peserta membuat refleksi atau renungan tentang pelajaran utama yang diperoleh daripada satu-satu sesi atau bengkel. Anda boleh lakukan perbincangan dalam kumpulan besar. Anda juga boleh gunakan peluang ini untuk menjawab soalan, keraguaan atau kekeliruan, sekiranya ada.
Last updated