Terdapat tiga kumpulan yang selalunya memain peranan dalam menjayakan mana-mana bengkel:
Penganjur
Penganjur ialah pihak atau individu yang mahu mengadakan satu-satu bengkel. Mereka bertanggungjawab terhadap bengkel atau sesi secara keseluruhan, termasuklah logistik, kewangan, dan sebagainya.
Penganjur juga menetapkan objektif bagi bengkel dan membangun program bengkel, termasuklah kaedah pengendalian bengkel secara terperinci bersama-sama fasilitator serta lain-lain yang terlibat dalam proses bengkel latihan ini.
Nara sumber (resource person)
Nara sumber adalah pakar subjek atau seseorang yang berpengalaman dalam bidang tertentu, antara lain, ahli komuniti yang berkongsi pengalaman mereka, peguam, aktivis hak asasi manusia, dan sebagainya.
Peranan mereka adalah untuk memberikan maklumat khusus untuk memperkayakan perbincangan berkenaan satu-satu topik, memberi konteks atau maklumat teknikal bagi analisis yang lebih mendalam, dan sebagainya.
Nara sumber dipilih berdasarkan keperluan sesi oleh pihak penganjur. Sebagai contoh, sekiranya anda merancang untuk menganjurkan sebuah sesi SOGIESC untuk komuniti LGBTIQ+. Dalam sesi tersebut anda ingin menyentuh perspektif perubatan mengenai SOGIESC. Sebagai penganjur, anda boleh menjemput seorang atau beberapa orang profesional kesihatan mental untuk memberikan penerangan khusus.
Fasilitator
Fasilitator adalah individu atau sekumpulan individu (co-facilitators) yang bertanggungjawab dalam memandu perjalanan sesuatu bengkel.
Fasilitator selalunya dipilih oleh pihak penganjur. Pihak penganjur juga boleh memainkan peranan fasilitator.
Antara lain, fasilitator berperanan dalam:
Memastikan isi kandungan yang ingin disampaikan kepada peserta disampaikan dengan berkesan sepanjang satu-satu bengkel
Memfasilitasi perbincangan dan perbualan dalam sesebuah bengkel.
Menumpukan kualiti perhatian peserta terhadap keseluruhan bengkel. Hal ini termasuklah dalam memerhati keupayaan para peserta dalam memproses maklumat dan penglibatan mereka dalam perbincangan.
Memegang ruang (holding the space) sepanjang bengkel. Dalam mana-mana bengkel dengan komuniti, para fasilitator harus bersedia untuk menangani perkongsian yang mungkin menimbulkan rasa trauma, sedih, marah, atau emosi-emosi lain. Tugas ini memerlukan kebertanggungjawaban, kewaspadaan, dan sensitiviti.
Gunakan pengalaman anda memfasilitasi, jika ada, untuk mengadaptasi kepada situasi di dalam bengkel.
Fasilitator tidak boleh dikelirukan dengan nara sumber (resource person). Seorang fasilitator tidak perlu menjadi pakar satu-satu topik walaupun mereka haruslah mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam berkenaan topik bengkel.