Bagaimana kalau kita bekerja bersama fasilitator bersama?

Dalam setiap bengkel, ada masanya anda boleh memfasilitasi sendiri, atau bekerja dengan seorang atau lebih fasilitator bersama (co-facilitator).

Bekerja bersama dengan fasilitator yang lain dapat membantu dalam, antara lain,

  • memainkan kekuatan masing-masing,

  • mengagihkan tenaga kerja,

  • membina sokongan. apabila anda bekerja dengan fasilitator lain, anda mempunyai orang lain yang dapat menyokong dan memberi pandangan kritis (sounding board),

  • menjaga masa,

  • memerhatikan tenaga peserta

Sekiranya anda memfasilitasi bengkel yang disertai oleh para peserta dari latar belakang yang berlainan dengan anda, adalah sesuai untuk menambah fasilitator daripada komuniti yang sama.

Berikut adalah antara tips-tips yang boleh digunakan sekiranya satu-satu bengkel mempunyai lebih daripada seorang fasilitator.

Sebelum bengkel
  • Tentukan dengan jelas peranan setiap fasilitator dalam kumpulan anda. Hal ini termasuklah siapa yang mengetuai, dan siapa yang akan menyokong dalam satu-satu sesi dalam bengkel. Anda boleh memainkan peranan ini secara bergilir-gilir, mengikut kekuatan dan kemampuan fasilitator atau keperluan sesi dalam bengkel anda. Hal ini boleh membantu antara lain, menyamakan dinamika kuasa antara fasilitator, membuat peserta tidak bosan, memberi peluang untuk masing-masing untuk menyerlah. Buat senarai peranan setiap fasilitator dan jenis bantuan atau sokongan yang diperlukan sepanjang perjalanan bengkel.

  • Sekiranya anda bekerja bersama dengan fasilitator lain, anda perlu peka pengalaman, kekuatan dan kepakaran masing-masing untuk memastikan dinamika kuasa yang seimbang serta perjalanan bengkel yang lebih terurus. Hal ini juga memberi kesan terhadap penglibatan, pembelajaran dan keselamatan para peserta.

  • Tentukan isyarat maklum balas. Dalam bengkel secara fizikal atau offline, tentukan isyarat maklum balas untuk antara lain mendapatkan sokongan atau bantuan daripada fasilitator lain, untuk “perlahan sikit”, atau kuatkan suara. Sebagai contoh, angkat tangan untuk isyarat “saya nak tambah sesuatu”. 🖐️ Jika bengkel dijalankan di atas talian atau online, manfaatkan ciri-ciri platform yang digunakan, seperti ‘angkat tangan’(raise hand) dalam Zoom, atau kotak sembang persendirian (private chat box) untuk bertanya soalan sesama kumpulan fasilitator.

Semasa bengkel
  • Libatkan diri secara aktif — perhati dan dengar. Walaupun anda tidak mengetuai satu-satu sesi, anda masih ada peranan yang penting. Semua sesi dalam satu-satu bengkel saling berkait. Oleh itu, tumpukan perhatian, supaya merujuk semula kepada perbincangan dan menjalin kesinambungan antara sesi apabila tiba giliran anda untuk memfasilitasi. Ada kalanya, fasilitator yang memfasilitasi satu-satu sesi mungkin terlepas isyarat lisan atau perbincangan antara peserta. Hal ini selalu berlaku dalam bengkel atau sesi online, di mana ada perbincangan kecil dalam ruang chat box. Anda adalah mata tambahan mereka untuk memerhati reaksi dan perkara-perkara lain yang mungkin timbul.

  • Mencelah secara hormat. Elakkan daripada melompat masuk dan mengambil alih satu-satu sesi atau bengkel. Hal ini sememangnya akan memberi impak negatif kepada fasilitator yang terlibat. Bergantung kepada situasi, anda boleh mencelah tanpa mengambil alih untuk, sebagai contoh, membetulkan maklumat yang salah atau menerangkan konsep yang sukar difahami. Atau, anda boleh berkongsi atau membetulkan maklumat yang salah atau tidak betul, pada akhir sesi atau semasa peralihan ke sesi seterusnya. Secara umumnya, hanya berikan bantuan sekiranya fasilitator meminta bantuan. Anda boleh tentukan isyarat untuk memberi bantuan antara fasilitator sebelum bengkel.

Selepas bengkel

Masukkan sesi penilaian atau refleksi (debrief). Bincangkan hasil bengkel, proses, dan bagaimana anda bekerjasama dalam sesi penilaian atau refelksi selepas bengkel. Kenal pasti apa yang dilihat sebagai kejayaan, dan bagaimana anda boleh bekerja sama dengan lebih baik lain kali. Jangan lupa untuk berterima kasih dan raikan semua yang terlibat dalam bengkel.

Last updated