Nota fasilitator
Istilah-istilah yang tergolong dalam lebih daripada satu kategori.
‘Queer’ boleh digunakan untuk merujuk kepada orientasi seksual dan gender. Queer juga digunakan sebagai terma payung untuk merujuk kepada semua dalam spektrum LGBTIQ+
Pengkid boleh digunakan sebagai identiti gender dan ekspresi gender. Pengkid boleh digunakan untuk merujuk kepada lelaki trans, trans maskulin, lesbian butch, individu bukan binari, dan individu yang diberikan (assigned) identiti perempuan semasa lahir yang mengekspresikan diri secara maskulin.
Penggunaan label dalam Bahasa Melayu (BM).
BM ialah sebuah bahasa yang tidak bergender seperti bahasa Inggeris, Arab, Perancis atau bahasa-bahasa bergender lain. BM mempunyai sistem pengganti kata nama yang inklusif, seperti 'dia' dan beliau', berbanding dengan bahasa Inggeris yang menggunakan kata ganti nama bergender seperti 'he', 'she', 'they'. Walau bagaimanapun, terdapat penggunaan isitilah yang menunjukkan hierarki atau pangkat berdasarkan gender seperti cik, puan, tuan, encik, kakak, abang, dan lain-lain.
Penting untuk diakui bahawa banyak istilah yang kita bincangkan adalah dalam bahasa Inggeris dan kadang-kadang terdengar janggal ketika diterjemahkan.
Istilah seperti interseks, transgender, lesbian, gay, biseksual, gender diverse dan lain-lain yang selalu kita gunakan merupakan bahasa advokasi. Akan tetapi, terdapat banyak lagi istilah atau terma yang digunakan oleh komuniti LGBTIQ+ dan masyarakat. Terma-terma ini juga mungkin berbeza-beza berdasarkan lokasi geografi, etnik, kelas, umur, dan banyak lagi.
Istilah sedia ada berkenaan individu LGBTIQ+ dalam BM juga wujud dalam masa yang berbeza dan mungkin tidak menggambarkan kerumitan dan kepelbagaian identiti seperti yang kita ketahui sekarang. Oleh itu, proses mencari dan mencipta bahasa baharu adalah proses yang sentiasa berevolusi. Sebagai contoh, tidak ada terjemahan atau istilah untuk bukan binari dalam BM walaupun individu bukan binari sememangnya telah wujud dalam pelbagai komuniti berbeza atau menggunakan bahasa lain untuk menggambarkan diri mereka.
Evolusi bahasa dan istilah dalam BM di Malaysia.
Pondan digunakan sebagai istilah payung untuk menggambarkan seorang lelaki yang diberikan identiti (assigned) lelaki semasa lahir yang mengekspresikan diri mereka secara feminin, dan juga kepada perempuan trans dan lelaki queer. Pada tahun 80-an, komuniti perempuan trans di Malaysia memperkenalkan istilah mak nyah.
Penggunaan istilah 'sex' dan 'gender'
‘Sex’ diterjemahkan sebagai seks (ciri-ciri seks) atau jantina dalam BM. Manakala ‘gender’ kekal gender dalam BM.
'Sex' adalah seperti bekas atau kotak, manakala 'gender' adalah kandungan dalam bekas tersebut. Seseorang kadang-kadang dapat meneka apa yang ada di dalam sesuatu bekas dengan melihatnya dari luaran, tetapi tekaan mereka mungkin tidak betul. Satu-satunya cara untuk seseorang mengetahui adalah dengan bertanyakan tuan bekas itu. Selain itu, walaupun ada bekas dengan ukuran atau jenis yang sama, mereka mungkin berhias atau dipersembahkan dengan cara yang berbeza, yang mencerminkan keperibadian mereka.
Seks atau jantina tidak merujuk hanya kepada genital atau alat kelamin kita sahaja. Seks adalah gabungan organ reproduktif luaran dan dalaman, kromosom, hormon, dan ciri seks sekunder. Terdapat banyak jenis kromosom seks lebih daripada XX dan XY.
Seks juga dibina secara sosial (socially constructed) berdasarkan jenis badan, persepsi fungsi reproduktif berdasarkan genital yang boleh dilihat, dan lain-lain. Fahaman umum berkenaan seks bersifat binari dan mengukuhkan norma-norma binari – sebagai contoh, seseorang yang ditentukan lelaki semasa kelahiran mestilah lelaki cisgender, heteroseksual, dan membawa diri mereka dengan cara maskulin.
Fahaman (construct) ini memberi kesan buruk kepada individu interseks atau orang lain yang mungkin tidak tergolong dalam badan binari lelaki dan perempuan. Sebagai contoh, bayi dan kanak-kanak interseks yang terpaksa mengalami ‘pembedahan menormalkan’ (normalising surgeries) atau ‘mutilasi genital interseks’ (intersex genital mutilation) untuk 'membetulkan diri mereka' agar sesuai dengan acuan binari lelaki-perempuan.
Di samping itu, terdapat juga anggapan bahawa seks dan gender adalah sama. Kesannya, terdapat dinamik kuasa yang tidak sama antara orang dalam kategori gender yang berbeza. Sebagai contoh, perempuan transgender mempunyai kuasa dan suara yang terhad dalam masyarakat kerana mereka dianggap berada di luar kategori binari gender. Seorang perempuan yang mengekspresikan diri mereka dengan cara maskulin, atau lelaki yang memakai skirt atau mengekspresikan diri mereka dengan cara feminin dikritik oleh masyarakat kerana tidak mematuhi norma gender.
Gender adalah istilah payung yang merangkumi identiti gender, ekspresi gender, peranan gender dan banyak lagi. Gender mempunyai pelbagai dimensi. Ini merujuk kepada identiti seseorang, seperti bagaimana mereka melihat diri mereka di sepanjang spektrum perempuan atau lelaki, semuanya, atau tidak langsung. Genital (atau alat kelamin) seseorang tidak mewakili identiti gender mereka.
Orientasi seksual pula merujuk kepada tarikan seksual dan/atau romantik.
Penting untuk ditekankan bahawa semua tubuh badan adalah sebahagian fitrah semulajadi yang cantik dan unik. Tiada satu pun tubuh badan atau diri yang sama. Penting untuk diperhatikan bahawa individu LGBTIQ+ mempunyai hak yang sama untuk membina keluarga, dan juga hak kesihatan, termasuklah: hak-hak kesihatan seksual dan reproduktif yang sama rata.
Last updated