Soalan Lazim: Amalan Pemulihan di Malaysia
TERAPI PEMULIHAN LGBT atau Amalan Pemulihan (conversion practices) atau yang lebih dikenali sebagai 'balik pangkal jalan' merujuk kepada amalan-amalan mudarat yang bertujuan untuk mengubah orientasi seksual, identiti gender, atau ekspresi gender (SOGIE) seseorang itu agar mereka 'bertukar' daripada seorang gay menjadi seorang heteroseksual atau seorang trans kepada cisgender. Di Malaysia amalan pemulihan sering dirujuk sebagai pemulihan, pencegahan atau program rawatan untuk “menyembuhkan” dan “membantu” individu LGBTQ untuk “pulang ke pangkal jalan".
Lampiran Soalan Lazim ini merangkumi apakah bentuk amalan terapi pemulihan di Malaysia, penggerak amalan ini, dan kesan amalan pemulihan ini, serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan amalan pemulihan ini tidak lagi diamalkan.
1. Apakah maksud Terapi Pemulihan
“Terapi Pemulihan” adalah terma payung bagi pelbagai jenis rawatan, amalan, dan juga usaha berterusan untuk mengubah, memendam, atau menyingkirkan orientasi seksual, identiti gender, atau ekspresi gender (SOGIE) seseorang itu. Amalan-amalan ini menyasarkan golongan LGBTQ agar seorang yang gay, lesbian, atau biseksual boleh berubah menjadi seorang heteroseksual; seorang individu trans atau pelbagai gender kepada individu cisgender.
Penggunaan terma 'conversion therapy' atau 'terapi pemulihan' sebenarnya boleh mengelabui hakikat yang ia bukanlah sejenis terapi. Sebaliknya, penggunaan ‘Amalan Pemulihan” atau Usaha Mengubah Orientasi Seksual, Identiti Gender atau Ekspresi Gender” atau “sexual orientation, gender identity or gender expression change efforts” (SOGIECE) adalah lebih tepat.
Di Malaysia, Amalan-amalan Pemulihan seringkali menggunakan bahasa dan terma:
“kembali ke pangkal jalan" atau “kembali ke fitrah”,
hijrah (selalunya dibimbing oleh “bekas” LGBT atau seorang daripada golongan LGBTQ yang sudah berubah atau proses penghijrahan diri menjadi lebih “baik”)
2. Apakah dasar kepada Amalan Pemulihan?
Amalan Pemulihan disandarkan kepada pengkajian patologi orientasi seksual, identiti gender, dan ekspresi gender (SOGIE). Ini bermaksud pengklasifikasian SOGIE individu LGBTQ sebagai satu penyakit mental dalam buku panduan peringkat nasional dani juga antarabangsa yang digunakan oleh penjaga kesihatan profesional untuk membuat diagnosis gangguan (disorder) mental.
“Homoseksual” telah diklasifikasikan sebagai penyakit mental dalam edisi pertama Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM) pada tahun 1952.
Identiti Gender tidak dipatologikan dalam dua edisi pertama DSM tapi dalam DSM-III, transeksualisme telah disenaraikan sebagai salah satu diagnosis pada tahun 1980, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut menyenaraikan transeksualisme sebagai satu diagnosis dalam senarai International Classification of Diseases (ICD).
Edisi terbaharu DSM-5 yang diterbitkan pada tahun 2013, telah menyingkirkan semua diagnostik kategori yang berkaitan dengan orientasi seksual dan menggantikan “gender identity disorder” dengan “gender dysphoria" atau disforia gender. Perubahan ini bertujuan untuk mengurang stigma dan mempermudahkan laluan kepada penjagaan kesihatan (psikiatrik, perubatan, serta rawatan pembedahan) bagi individu trans dan golongan pelbagai gender.
Proses depathologisation atau nyahpatologi (depatologi) kepelbagaian gender dan seksualiti telah berkembang setelah DSM dan ICD menyingkirkan diagnosis yang mempatologikan orientasi seksual dan identiti gender. Persatuan Psikiatri Dunia (World Psychiatric Association) pada tahun 2016 telah menegaskan bahawa “tidak wujud sebarang bukti saintifik kukuh menunjukkan yang orientasi seksual sejadi boleh diubah”, selaras dengan kesepakatan badan-badan serta persatuan-persatuan penjagaan kesihatan seantero dunia yang menolak amalan pemulihan.
3. Apakah jenis-jenis amalan “terapi pemulihan” yang wujud?
Berdasarkan laporan IE SOGI tentang amalan global berkenaan usaha mengubah SOGIE, terdapat tiga cabang pendekatan kepada amalan pemulihan : pendekatan berasaskan perubatan, psikoterapi dan agama.
Pendekatan perubatan bersandarkan kepercayaan bahawa kepelbagaian seksualiti dan gender terwujud dari disfungsi biologi. Pada masa lalu, pemotongan saraf tertentu pada otak melalui pembedahan (lobotomi) dan pengasian dilakukan, namun kini rawatan hormon serta steroid digunapakai secara meluas. Dukun-dukun tradisional (sebagai contoh ayurvedik, homeopatik, dan lain-lain perubatan tradisional) menggunakan “perubatan ajaib” seperti mencurahkan minyak ke dalam faraj dan menjalankan penderaan fizikal.
Pendekatan psikoterapi adalah berdasarkan kepercayaan yang kepelbagaian gender dan seksualiti itu hasil daripada asuhan atau pengalaman abnormal, dengan penekanan pada pengalaman lampau semasa kanak-kanak dan peranan yang dimainkan oleh ibubapanya semasa membesar. Antara kaedah kebiasaan termasuklah
Terapi aversi telah menjadi kebiasaan - individu tersebut akan berdepan dengan kaedah menindaskan ransangan dengan mengaitkan sesuatu kesan yang tidak enak atau menyakitkan seperti kejutan elektrik, rasa mual, atau kelumpuhan sementara, agar mereka mengelak rangsangan yang sama di masa hadapan.
Menggalakkan onani sambil membayangkan gender yang berlainan, hipnosis, teknik-teknik mengubah perlakuan seseorang agar dianggap lebih maskulin atau feminin, dan cara-cara untuk membendung remaja trans dari mula bertransisi.
Pendekatan keagamaan adalah berdasarkan premis yang kepelbagaian gender dan identiti seksual itu adalah sesuatu yang di luar fitrah dan tabi'i manusia. Pendekatan ini selalunya dijalankan melalui kaunseling kerohanian, terapi doa, dan ada juga yang merawat dengan memberitahu individu yang dirawat itu bahawa orientasi seksual dan identiti gender mereka adalah satu ketagihan yang boleh diatasi dengan bantuan dan bimbingan penasihat rohani atau dengan program 12 langkah. Kadangkala, pendekatan rohani ini juga menggunakan kaedah pengusiran roh jahat atau ruqyah bagi menghalau dan melindungi individu tersebut dari gangguan syaitan dan makhluk halus, atau ada juga yang menggunakan kaedah pembujangan bagi mengelakkan hubungan seksual.
Di Malaysia, amalan pengubahan SOGIE juga didukungi oleh kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan yang menggunakan pendekatan perubatan, keagamaan dan psikoterapi.
4. Bagaimanakah rupa cara program amalan pemulihan yang dijalankan oleh Kerajaan di Malaysia?
Program-program yang dijalankan oleh Kerajaan boleh dilihat bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di setiap negeri. Di peringkat nasional, usaha-usaha yang dijalankan didukung oleh 1) Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Jabatan-jabatan Agama Negeri, serta 2) Kementerian-kementerian lain.
Program sokongan dan bimbingan: Pelbagai aktiviti antaranya program Mukhayyam yang didalangi oleh JAKIM dengan usahasama Majlis-majlis serta Jabatan-jabatan Agama dan juga Kementerian Kesihatan. Program ini yang tersenarai dalam Pelan Strategik Kebangsaan bagi Menghapuskan AIDS 2016-2030, menyasarkan untuk memberi dorongan agama serta sokongan kerohanian, dan dalam masa yang sama meningkatkan pengetahuan serta kesedaran tentang HIV. Melalui program-program ini, Kerajaan mendakwa bahawa 1,769 individu telah berjaya dibantu sejak program ini dilaksanakan. Kajian dan dokumentasi Justice for Sisters telah mengenalpasti teknik-teknik berikut digunakan dalam program Mukhayyam:
Taktik melahirkan rasa kebersalahan diri: Terdapat perkongsian oleh peserta program Mukhayyam yang menyatakan program tersebut telah menggunakan taktik yang menimbulkan rasa takut, kehendak untuk menyalahkan diri dan memperkukuhkan tanggapan tentang dosa, keberjadian diri, serta binari gender.
Pengukuhan ideologi gender binari: Kem-kem program ini juga memaksa peserta untuk menjalani acara-acara fiskal lasak dengan tujuan utamanya memulihkan wanita-wanita transgender untuk jadi lebih maskulin. Sebagai contoh, di salah satu kem yang dijalankan, peserta yang hadir dipaksa untuk merentas desa dan tasik, merempuh diri dalam lumpur - semuanya pada hari pertama, yang telah mengejutkan ramai peserta kerana mereka tidak hadir dengan pakaian yang sesuai dengan aktiviti-aktiviti tersebut, dan secara langsung mengakibatkan kecederaan pada sesetengah mereka.
Manipulasi serta pelanggaran privasi: Melati, seorang wanita trans telah berkongsikan pengalamannya mengikuti sebuah kem Mukhayyam di Kuantan yang dijalankan oleh JAKIM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada Mac 2014. Melati mendapati kem tersebut tidak menepati tujuan asalnya yang dipamerkan sebagai program temuseru (outreach). Malah, kem tersebut telah dijenamakan semula sebagai 'islah mukhayyam' atau 'kem pemulihan' yang langsung tidak menepati jangkaan asal Melati.
Selain Mukhayyam, program-program susulan serta sokongan turut dikendalikan oleh JAKIM atau NGO bekas-LGBT seperti acara usrah dan kem kerohanian, kelas-kelas bacaan Al-Quran, dan turut sama disediakan bantuan untuk perniagaan. Sebagai contoh, seramai 525 orang yang menyertai program Mukhayyam telah menerima bantuan kewangan melalui Tabung Musa'adah Covid-19 JAKIM.
Penubuhan task force dan pelan tindakan untuk menangani isu LGBT: Satu task force bertujuan untuk menangani isu LGBT telah ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan Pelan Tindakan Sosial Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (PTSI JAKIM) 2019-2025, dengan matlmat untuk membanteras gejala sosial dalam kalangan umat Islam di Malaysia, termasuklah golongan LGBT. Satu pelan 5 tahun, Pelan Tindakan Menangani Gejala Sosial Perlakuan LGBT 2017—2021, telah diwujudkan untuk membenteras gelaja LGBT secara proaktif dan efektif.
Penubuhan perkhidmatan sokongan: Pusat Khidmat Keluarga, Sosial, dan Komuniti (KSKCareCenter) JAKIM di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya menawarkan sesi kaunseling bertunjangkan Syarie, terapi psikospiritual Islam dan perubatan Islam ('Ilaj Syarie) secara percuma.
Pembangunan dan penghasilan sumber: JAKIM telah secara berterusan menghasilkan bahan serta sumber untuk mengekang maklumat tentang orientasi seksual, ekspresi dan identiti gender, serta perwatakan seksual dan hanya menggalakkan matlamat mereka untuk "memulihkan" individu LGBTQ:
Panduan Islam and Mak Nyah yang diterbitkan pada 2013.
Buku elektronik (e-buku) ‘Panduan Hijrah Diri’ yang sebelum ini terdapat di Google Play Store, adalah himpunan hadis-hadis berkenaan ‘perilaku LGBT’ (2015)
Risalah ‘Memahami LGBT dari Perspektif Seorang Muslim’, yang mengunjurkan amalan pemulihan.
Menelusuri Fitrah Insani (2021), bab 5 buku ini memberi tumpuan kepada sebab dan akibat tingkahlaku LGBT, memaparkan teori dan sebab yang menyebabkan seseorang itu menjadi LGBT, membincangkan natijah serta keburukan LGBT bukan sahaja pada diri tetapi juga masyarakat, serta kaedah rawatan pemulihan buat golongan LGBT.
Manual Komuniti Hijrah Lesbian dan Gay (2022). Panduan ini membincangkan fitrah kita sebagai manusia, pandangan Islam tentang gay dan lesbian, psikoterapi Islam termasuklah terapi doa dan zikir yang akan membantu golongan gay dan lesbian muslim untuk menjalani kehidupan lebih baik berlandaskan prinsip-prinsip Islam.
Di peringkat negeri, contohnya di Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjalankan aktiviti pemulihan LGBT di bawah Bahagian Pemulihan Ar-Riqab, yang ditubuhkan pada tahun 2012. MAIS mentakrifkan Al-Rihab sebagai "seseorang yang terbelenggu di bawah sesuatu kuasa atau keadaan yang menjadi hambatan kepada dirinya bagi menjalani kehidupan yang lebih baik. Terbelenggu dengan gaya hidup songsang seperti pelacur, lesbian, homoseksual, mak nyah atau transeksual, biseksual, pengkid, tomboy, gigolo dan bersekedudukan dengan orang bukan Islam" Bahagian Pemulihan ini mempunyai tiga pusat perlindungan serenti bagi rawatan dan pemulihan golongan LGBT yang dibuang keluarga, yang tidak mempunyai rumah, pendapatan, atau rawatan serta perubatan HIV. Pusat-pusat perlindungan ini menyediakan kelas agama dan kerohanian setiap minggu dan program-program pemulihan. Individu LGBT yang menetap di pusat-pusat perlindungan ini diberi bantuan kewangan untuk berpindah, bantuan perubatan, serta modal untuk memulakan perniagaan. Mengikut MAIS, setakat 2019, seramai 497 orang individu LGBT telah pulang ke jalan yang benar melalui dana yang disediakan.
Program-program yang dijalankan oleh Kementerian lain:
"Garis Panduan Pengendalian Masalah Kesihatan Gender di Klinik Kesihatan" oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mempatologikan dan mengenakan kerangka perubatan terhadap individu LGBTQ serta identiti mereka dengan menganggap bahawa identiti mereka berpunca daripada permasalahan keluarga, penderaan seksual, ataupun perlakuan liar. Garis panduan itu menyarankan agar remaja yang dianggap mempunyai isu kecelaruan gender dikenakan pemeriksaan fizikal termasuklah pemeriksaan alat kelamin atau genital, mendapatkan rekod sejarah seksual, serta pemeriksaan perubatan untuk mengamati keadaan kelenjar pituitari mereka.
Pelbagai seminar dan program oleh kerajaan yang disasarkan kepada pelajar, kaunselor sekolah, ibu bapa, sukarelawan, pekerja kesihatan, dan wakil NGO Islam yang bertujuan untuk mengekang orang ramai daripada amalan LGBT serta menggalakkan individu untuk mengenalpasti dan menghalang 'perlakuan LGBT' dalam keluarga, lingkungan sosial, dan tempat kerja mereka.
5. Bagaimanakah rupa cara amalan pemulihan yang dijalankan oleh badan-badan bukan Kerajaan?
Amalan pemulihan yang ditawarkan oleh badan-badan bukan kerajaan wujud dalam pelbagai bentuk dan cara. Amalan pemulihan oleh badan-badan ini diperkukuhkan oleh pendirian kerajaan berkenaan amalan pemulihan. Amalan pemulihan oleh badan bukan kerajaan boleh dikategorikan seperti berikut:
Penyedia perkhidmatan kesihatan: Kajian SUHAKAM mendapati 18% responden trans dan interseks melaporkan bahawa mereka ditawarkan atau diberi cadangan untuk mendapatkan terapi keagamaan atau lain bagi 'membetulkan' identiti gender mereka. Kajian yang sama turut mendapati sebanyak 15% responden telah secara paksa dihantar untuk berjumpa dengan profesional kesihatan mental berkenaan SOGIE mereka dan 9% pula dipaksa berdepan dengan pihak berkuasa agama. Bukti-bukti anekdot dan laporan Galen Centre menunjukkan bahawa ramai individu LGBTQ dirujuk kepada atau pernah menerima perkhidmatan daripada pengamal kesihatan mental yang menawarkan amalan pemulihan dalam perkhidmatan mereka. Namun, kes-kes sebegini jarang dilaporkan.
Amalan Keagamaan: Kajian APTN mendapati 31% daripada 14 responden trans pernah dikenakan amalan pemulihan oleh pemimpin atau institusi agama. Kajian SUHAKAM turut mendapati 18% responden trans dan interseks mencari bantuan daripada pemimpin atau institusiagama, sama ada untuk meluahkan permasalahan mereka, merujuk tentang identiti gender, mendalami agama, mahupun hanya sekadar mendapatkan nasihat. Pusat Rawatan Islam, sebahagian daripada badan amalan perubatan rohani Islam yang kian berkembang, menawarkan rawatan untuk "memulihkan" individu LGBTQ. Sebagai contoh, Pusat Perubatan Islam Manarah telah menerbitkan butiran perinci rawatan 5 peringkat mereka yang melibatkan kaunseling untuk membentuk semula minda subjek agar mereka melihat pasangan romantik mereka sebagai syaitan dan musuh, sembahyang taubat, refleksologi islam yang membabitkan sebatan untuk menghalau syaitan dari tubuh badan melalui subjek itu sendiri, yang boleh menjurus kepada satu bentuk penghinaan, layanan mengaibkan dan juga penderaan lain.
Pendakwah bekas LGBT, Kumpulan bekas LGBT Kristian, atau Komuniti Hijrah: Kumpulan-kumpulan yang ditubuhkan oleh mereka yang dahulunya mengidentifikasi LGBT dan kini berubah arah. Mereka akan membantu individu LGBTQ lain menghindari diskriminasi berkaitan SOGIE dengan menjauhi sebarang aktiviti seksual dan menggalakan percintaan serta perkahwinan berlainan jantina. Seorang pastor yang juga bekas LGBT dari Real Love Ministry, satu kependetaan buat bekas LGBT, menerangkan yang orientasi seksual itu adalah satu “cara hidup” seksual yang boleh diubah dan diperbetulkan, dan bagaimana menerima Yesus Kristus itu sendiri adalah ubatnya.
Akademik: Terdapat juga segelintir akademik dan kumpulan pendukung amalan pemulihan sebagai penyelesaian dan hak. Mereka juga antara golongan ahli akademik yang tidak mempunyai kelayakan mahupun kepakaran bidang yang menerbitkan penulisan yang mengunjurkan kaunseling atau terapi agama untuk merawatpulih individu LGBTQ. Ini termasuklah gabungan konservatif hak asasi di Malaysia.
6. Mengapakah individu LGBTQ terdedah kepada amalan pemulihan?
Kajian telah mengenalpasti faktor-faktor berikut sebagai penyumbang besar kepada keterdedahan individu LGBTQ kepada amalan pemulihan.
Tekanan yang tinggi untuk berubah atau “kembali ke pangkal jalan” daripada ahli keluarga, rakan sekerja, pasangan, majikan, rakan-rakan, dan orang yang tidak dikenali. Tekanan ini wujud dalam bentuk nasihat dan pendapat yang tidak diminta ataupun bantahan yang menimbulkan rasa tidak selesa, stress, dan kemarahan. Sebagai contoh, ditanya berulangkali bilakan masanya mereka akan berubah, mereka menyebabkan kesakitan buat ibu bapa mereka hanya kerana mereka identiti mereka seadanya. Selain itu,tekanan ini wujud dalam bentuk tenungan atau bentuk-bentuk agresif skala micro sehinggalah keganasan seperti yang diterangkan dalam soalan 5. Salah satu kebiasaan yang dihadapi oleh wanita trans adalah mereka seringkali diajukan soalan-soalan seperti “Kenapa kamu macam ni?” atau “Sampai bila kamu nak jadi macam ni?” Ibu bapa dan ahli keluarga adalah kedua-dua mangsa dan penyumbang kepada amalan pengubahan SOGIE. Kajian APTN mendapati 62% individu trans melaporkan yang salah seorang atau penjaga mereka pernah cuba untuk mengubah orientasi seksual dan identiti gender mereka. Ahli keluarga turut terkesan dengan pengaiban, stigma, malah pemulauan oleh orang sekeliling kerana mereka dianggap gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang baik atau kerana membenarkan anak-anak ‘menjadi LGBTQ’ dan tidak membimbing mereka untuk kembali ke jalan yang benar.
Membatinkan perasaan diaibkan, dipersalahkan, celaan, dan keganasan yang membawa kepada transphobia, homophobia, biphobia dalaman. Kajian Justice for Sisters mendapati wanita trans percaya yang mereka itu selayaknya menerima segala keburukan yang ditujukan ke arah mereka. Ada antara mereka yang mengambil keputusan untuk memendam dan mengubah SOGIE (orientasi seksual, Identiti serta ekspresi gender) mereka demi memenuhi kehendak keluarga.
Untuk melindungi diri daripada diskriminasi dan keganasan yang berterusan seperti ditahan atau didakwa oleh pihak penguatkuasa agama. Sonia, seorang wanita trans kongsikan yang pada suatu titik dalam hidupnya, dia terpaksa untuk menukar ekspresi gendernya bagi mengelakkan daripada ditahan. Dia turut menasihati wanita trans lain pada masa itu untuk mengubah identiti mereka juga agar tidak ditangkap, “Saya tidak memaksa untuk awak berubah sebab hal hati tak boleh dipaksa. Tapi, ubahlah, tak payah jadi perempuan. Kalau tidak nanti, mereka tangkap dan masuk dalam penjara.” Dalam masyarakat yang tidak toleran dan persekitaran yang mendiskriminasi, mereka yang berdepan dengan kesempitan ekonomi mungkin akan memilih untuk cuba menyingkirkan, menahan, serta mengubah SOGIE mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Kajian telah menunjukan pengalaman wanita-wanita trans yang ditegur atau dikenakan tindakan oleh majikan disebabkan oleh identiti dan ekspresi gender gender memaksa mereka untuk meninggalkan pekerjaan atau mengubah ekspresi gender mereka.
Kanak-kanak dan remaja LGBTQ lebih rentan dan lebih terkesan daripada dari amalan pengubahan SOGIE. Kanak-kanak dan remaja lebih rentan kepada amalan pengubahan SOGIE di rumah oleh ibu bapa atau ahli keluarga dan oleh guru-guru, kaunselor, atau pihak pengurusan sekolah. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang didedahkan kepada amalan pengubahan SOGIE berdepan dengan kesan kesihatan dan psikologi jangka-masa panjang, yang merangkumi cubaan bunuh diri, hilang harga diri, kecenderungan ke arah kemurungan lebih tinggi, keciciran sekolah, amalan tingkah laku risiko tinggi dan penggunaan bahan.
Individu LGBTQ yang hidup dengan HIV; pekerja seks; individu LGBT dalam kemiskinan; warga emas; pelajar dan kanak-kanak; dan banduan, adalah golongan yang lebih rentan kepada program pemulihan atau pengubahan SOGIE oleh kerajaan
7. Bolehkah individu LGBTQ turut serta dengan amalan pemulihan secara sukarela?
Walaupun ada yang mendapatkan atau dianggap sebagai mendapatkan amalan pemulihan secara sukarela, hakikatnya kita meneliti dan menganalisa sebab atau keadaan yang menyebabkan seseorang itu untuk mahu turut serta dalam amalan pemulihana secara sukarela. Seperti yang dibincangkan dalam soalan 6, tekanan daripada masyarakat sekeliling boleh memaksakan seseorang untuk menukar SOGIE mereka agar mereka diterima dan tidak diasingkan.
Sebagai contoh sebahagian situasi:
Individu LGBTQ yang meminta bantuan dari pemimpin agama secara sukarela kerana mahu berkongsikan permasalahan peribadi, mencari jawapan tentang identiti gender yang mereka alami, belajar tentang agama dan mendapatkan nasihat daripada orang alim-alim. Antara sebab yang diberikan oleh responden menunjukan yang mereka mencari pandangan golongan profesional atau mereka yang dianggap sebagai berpengalaman dalam linkungan mereka untuk mendapatkan pencerahan dan informasi tentang identiti mereka dalam konteks yang mengecam keberwujudan mereka. Dalam keadaan ini, penyedia perkhidmatan dan mereka dalam kedudukan sebegini mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan maklumat yang tepat dan bukan merujuk klien mereka pada amalan yang memudaratkan.
Individu LGBTQ tidak berkeupayaan untuk memberi kebenaran termaklum dan secara sukarela tentang kehendak mereka menyertai amalan pemulihan. Kanak-kanak atau golongan muda LGBTQ di sekolah serta pusat-pusat pengajian yang diberi tekanan untuk berubah oleh guru-guru, ustaz dan ustazah, serta kaunselor tidak dapat memberikan kebenaran seperti orang dewasa. Dalam keadaan-keadaan sebegini, kanak-kanak dan golongan muda ini tidak mempunyai kebebasan dan menajdi lebih terdedah kepada amalan pemulihan. Para banduan di penjara mahupun pusat-pusat Serenti juga tidak dapat membuat keputusan termaklum secara sukarela untuk tidak menyertai amalan pemulihan.
Individu LGBTQ terpaksa mengikuti atau redha dengan amalan-amalan pemulihan ini atas desakan keluarga, untuk tidak diasingkan oleh rakan sekeliling, ataupun dipaksa oleh guru-guru mereka.
Individu LGBTQ ada masanya terpedaya untuk menyertai program-program dan aktiviti-aktiviti pemulihan. Program-program pemulihan ini seringkali dirangka untuk tampak sukarela tanpa menyebut tentang amalan pemulihan dan melakar objektif secara tidak jelas. Tanpa memberikan objektif yang jelas, mereka selalu menggunakan helah bagi menarik peserta dan kemudiannya mendedahkan tujuan sebenar mereka untuk membawa golongan ini "kembali ke fitrah". Ada juga Individu LGBTQ yang menyertai program-program ini tanpa merelakan mahupun mengubah SOGIE mereka. Sebagai contoh, kerana insentif kewangan yang diberikan pada para peserta, ataupun kerana mahu berjumpa dengan orang baru serta memupuk perhubungan dengan ahli komuniti yang lain, ada juga yang mahu turut serta dalam aktiviti keagamaan, dan ada juga yang menyertai program-program ini kerana mahu menjaga hubungan balik dengan pihak berkuasa agar dapat mengelakkan diri daripada ditangkap.
Kumpulan Pakar Forensik Bebas dari International Rehabilitation Council for Torture Victims, satu kumpulan terkemuka antarabangsa yang menggabungkan pakar perundangan perubatan dari 23 negara telah mengumumkan bahawa khidmat amalan pemulihan adalah satu manipulasi, penipuan dan pengiklanan palsu.
8. Apakah kesan yang dialami oleh pemandiri atau mereka yang pernah melalui amalan-amalan pemulihan?
Laporan IE SOGI tentang amalan terapi pemulihan menunjukkan amalan pemulihan boleh menyebabkan kemurungan, keresahan, rasa aib dan rasa bersalah, rasa rendah harga diri, homofobia dalaman, imejan mengganggu, kesukaran intimasi, keterasingan sosial, fikiran dan cubaan bunuh diri, gangguan stres pascatrauma (PTSD), serta kesakitan fizikal.
Tidak banyak kajian dijalankan tentang kemudaratan amalan pemulihan dalam konteks Malaysia. Kajian dan laporan menunjukan bahawa individu LGBTIQ di Malaysia yang telah mengalami tekanan untuk menukar SOGIE mereka melalui amalan pemulihan mengalami keresahan, kemurungan, stres, pengasingan diri atau cubaan bunuh diri disebabkan oleh stigma, ketidakterimaan keluarga dan diskriminasi terhadap identiti dan ekspresi gender serta orientasi seksual mereka. Laila,seorang wanita trans berkongsikan bagaimana ketidakterimaan keluarganya mendorong dia untuk lari dari rumah dan pernah cuba membunuh diri,
“kalau nak saya jadi lelaki semula, kalau nak ubah perlakuan aya maksudnya kalau nak ubah dalaman saya, kau nak tukar luar dalam semua, baik je saya mati. Kalau tak boleh terima saya seadanya, baik saya mati… saya pernah cuba untuk bunuh diri sebab mak bapa saya tak terima saya seadanya.”
Selain daripada kesan psikologi jangka masa panjang dan kemudaratan fizikal, amalan pemulihan melanggar hak individu untuk kebebasan berekspresi, maruah diri, dan autonomi fizikal serta hak ke atas kesihatan seksual serta reproduktif. Laporan IE SOGI’s tentang amalan terapi pemulihan merumuskan bahawa semua amalan terapi pemulihan dianggap zalim, tidak berperikemanusiaan dan amalan yang menjatuhkan maruah apabila dipaksakan tanpa kebenaran individu. Ia juga boleh membawa kepada penyiksaan berdasarkan keadaan, keparahan fizikal dan mental yang dikenakan.
9. Apakah jenis bantuan yang wujud buat individu yang telah dipaksa melalui amalan pemulihan?
Individu LGBTQ tidak mempunyai banyak jalan keluar, bantuan, mahupun sokongan buat mereka yang berdepan dengan pencabulan hak asasi dari amalan pemulihan, waima dari ahli keluarga sendiri, tempat bekerja, sekolah mahupun ruang sosial. Natijahnya, mereka tidak berupaya untuk kongsikan pengalaman mahupun membuat laporan tentang mudarat yang diakibatkan oleh amalan pemulihan oleh agensi kerajaan, institusi hak asasi kebangsaan, ataupun badan-badan profesional kesihatan.
Kajian Justice for Sisters mendapati akses golonga LGBTQ kepada keadilan adalah rendah kerana prejudis dan sterotaip serta penjenayahan terhadap golongan LGBTQ. Wanita trans yang cuba meminta bantuan pihak polis bagi kes-kes keganasan mengalami pengalaman negatif, sebagai contoh laporan yang mereka dianggap tidak mustahak, dipersenda, dipersalahkan, dan dihina dengan panggilan yang kesat.
Keadaan ini juga menjadi lebih rumit apabila disandarkan pada hubungan mereka dengan si pelaku, sebagai contohnya:
Apabila amalan pemulihan itu dipaksakan oleh ahli keluarga sendiri atau orang-orang sekeliling mereka. Perlu dinyatakan bahawa hubungan individu LGBTIQ mungkin sedikit tegang atau renggang kerana SOGIE mereka pada awalnya mungkin berubah menjadi lebih baik dengan peredaran masa. Oleh yang demikian, individu tersebut mungkin tidak mahu melawat semula waktu mana saling bermusuhan, lebih-lebih lagi jika perhubungan mereka sudah semakin baik.
Dalam situasi di mana amalan ini dijalankan oleh kerajaan, mereka yang menghadiri program kerajaan kurang cenderung untuk bersuara untuk mengkritik program-program kerajaan. Hal ini kerana mereka mungkin
melihat harapan dalam perubahan sikap dalam kalangan jabatan agama negeri yang dahulunya keras, dan kini terhutang budi dengan insentif-insentif yang diberikan,
merasakan mereka diterima secara ikhlas oleh kerajaan walaupun pihak berkuasa berkehendak untuk mengubah mereka.
Kesan terhadap kebebasan berekspresi boleh dilihat melaui reaksi badan kerajaan dan bukan kerajaan kepada pembela hak asasi yang dilihat menyoal program-program kerajaan. Hal ini termasuklah penapisan (censorship), kehilangan pekerjaan, dan laporan polis akan dibuat pada mereka yang rentan sehingga membawa kepada siasatan.
Di Malaysia, tiada mekanisme keadilan melalui badan-badan hak asasi manusia mahupun perubatan bagi mereka yang mengalami amalan pemulihan. Selain itu, berbanding dengan kenyataan oleh badan-badan perubatan dan institusi hak asasi manusia di peringkat global, institusi-institusi yang sama di Malaysia masih belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan ketiadaan bukti untuk menyokong amalan terapi pemulihan serta kepincangannya dengan prinsip dasar beretika dan tanggung jawab profesional perubatan walaupun dipromosi secara meluas di Malaysia.
10. Mengapakah amalan terapi pemulihan dibiasakan di Malaysia?
Amalan pemulihan dibiasakan di Malaysia oleh sebab:
Patologi kepelbagaian seksualiti dan gender (Soalan 2);
Program dan aktiviti kerajaan pusat dan negeri (Soalan 4),
Keadaan menjadi lebih parah dengan representasi media yang problematik dan naratif negatif berkenaan golongan LGBTQ yang membiasakan serta menggalakkan amalan terapi pemulihan di Malaysia. Sebagai contoh, paparan ' individu LGBTQ yang bertaubat' mewujudkan maklumat salah (misinformation) dan hal ini mempunyai hubungan langsung dengan tekanan yang dialami oleh individu LGBTQ oleh ahli keluarga serta masyarakat sekeliling.
Dari konteks penjenayahan, pelanggarn hak asasi dan tomahan terhadap individu LGBTQ berlaku dengan sewenang-wenangnya. Antara 2020 dan 2022, sebilangan ahli parlimen dan Senator yang menuntut lebih banyak tangkapan, penahanan dan pemulihan individu LGBTQ serta penubuhan pusat tahanan istimewa buat golongan LGBT yang membawa impak negatif. Kajian menunjukkan peningkatan rasa takut dan kerunsingan berpanjangan dari ancaman ditangkap dan disaman dalam kalangan wanita trans adalah tinggi buat semua mereka yang berbeza etnik, agama, mahupun lokasi geografi.
11. Apakah langkah-langkah yang telah diambil di serata dunia untuk menghalang dan menghentikan amalan pemulihan?
Lebih banyak negara yang kini mengambil langkah untuk menghalang penggalakan dan peruntukan untuk amalan pemulihan. Setakat April 2022, 14 negara dan sebilangan jurisdiksi negeri, daerah, mukim dan pembandaran telah memperkenalkan langkah larangan untuk mengekang amalan terapi pemulihan. Ini termasuklah:
Pengenalan undang-undang baharu yang melarang amalan pemulihan di peringkat kebangsaan, negeri, mahupun daerah: Brazil, Ecuador, dan Malta telah menggubal undang-undang untuk melarang atau mengharamkan amalan pemulihan di peringkat kebangsaan.
Menggunakan undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan, akta anti-diskriminasi, akta perlindungan kanak-kanak dan akta anti-penipuan: Terdapat individu LGBTQ yang telah menggunakan akta anti-penipuan untuk menuntut keadilan, memandangkan amalan pemulihan dianggap sebagai satu 'amalan penipuan' yang membawa mudarat dan bukannya 'terapi' yang berkesan.
Peraturan profesional kesihatan: Argentina, Uruguay, Fiji, Nauru, Samoa, dan Taiwan telah telah memperkenalkan larangan tidak langsung melalui akta kesihatan mental yang melarang diagnosis pesakit berdasarkan orientasi seksual mahupun identiti gender mereka.
Melarang pengiklanan amalan pemulihan: Pada Julai 2020, Facebook dan Instagram mengumumkan larangan pengiklanan amalan pemulihan di platform media sosial mereka memandangkan kebanyakan amalan-amalan ini dipromosikan di atas talian.
Terdapat empat langkah segera yang patut diambil oleh kerajaan Malaysia:
Melaksanakan semakan menyeluruh ke atas amalan-amalan pemulihan di Malaysia dengan tujuan untuk menghentikan segala bentuk program dan aktiviti pemulihan anti-LGBT yang dilaksanakan menggunakan dana kerajaan.
Memperkenalkan undang-undang baharu ataupun menggunakan undang-undang sedia ada untuk menyekat amalan pemulihan.
Menyediakan perlindungan yang mencukupi, mudah akses dan berfokus kepada pemandiri LGBTQ yang pernah melalui amalan pemulihan.
Akhir sekali, memperkukuhkan akses keadilan, perkhidmatan, dan informasi yang mesra LGBTQ.
Bacaan lanjut
United Nations Independent Expert on Protection against Violence and Discrimination based on Sexual Orientation and Gender Identity (2020) - Practices of so-called “Conversion Therapy”
International Lesbian, Gay, Bisexual, Trans and Intersex Association (ILGA) World (2020) - Curbing Deception: A World Survey on Legal Regulation of So-Called “Conversion Therapies”
Asia Pacific Transgender Network Foundation (APTN) (2020)- Conversion Therapy Pracitces in Malaysia
Galen Centre for Health and Social Policy Report (2019) - What it Means to Suffer in Silence: Challenges to Mental Health Access among LGBT People
Justice for Sisters (2020) - Monitoring Report: LGBTIQ+ Rights in Malaysia
The Human Rights Commission of Malaysia (SUHAKAM) (2019) - Study on Discrimination against Trangsender Persons based in Kuala Lumpur and Selangor
Human Rights Watch (2014) - “I’m Scared to Be a Woman: Human Rights Abuses against Transgender People in Malaysia,”
Justice For Sisters (2021) - “Freedom of Expression and Transgender Women in Malaysia: A study on the relationship of freedom of expression and gender identity”
KRYSS Network (2019) - On the Record: Violence Against Lesbians, Bisexual Women and Transgender Persons In Malaysia
Soalan Lazim ini diterbitkan oleh Justice for Sisters melalui Gender Equality Initiative (GEI) di Malaysia bersama ARROW and FRHAM. Inisiatif ini sebahagian daripada dana European Union (EU). Kumpulan produksi termasuklah Nicole Fong, Aiman, Zarith, thilaga dan Sulastri Ariffin
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami di justiceforsisters@protonmail.com
Last updated