Nota fasilitator

Apa itu kuasa?

Kuasa terdiri daripada pelbagai jenis. Kita tahu bahawa kita juga mempunyai kuasa. Kita melihat kuasa dalam keluarga kita. Lebih dekat lagi, dalam kalangan individu LGBTIQ+ yang mencari sumber kekuatan dan keberanian dalam diri mereka untuk membebaskan diri daripada kongkongan ‘tradisi’ dan aturan sosial dan mencorak kehidupan mereka sendiri. Atau, untuk memperjuangkan hak asasi, ketidaksaksamaan, ketidakadilan, dan diskriminasi oleh sebab ekspresi diri mereka, etnik, ras, orientasi seksual, identity gender, keupayaan dan sebagainya,

Tiada siapa yang ‘memberikan’ kita kuasa untuk melakukan perkara-perkara ini. Selalunya, mereka mencarinya dalam diri mereka. Kita semua mempunyai kuasa dalam diri kita, walaupun kita mungkin tidak mengenalinya atau menggunakannya.

Bentuk ekspresi kuasa

Ekspresi kuasa boleh dikategorikan mengikut 4 kategori-kategori berikut

Kuasa ke atas/terhadap atau power over

'Kuasa ke atas/terhadap’', secara umumnya, mempunyai banyak konotasi negatif, seperti penindasan, paksaan, diskriminasi, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa.

Dalam politik, mereka yang mengawal sumber dan membuat keputusan mempunyai kuasa ke atas atau terhadap mereka yang tidak. Apabila orang ramai dinafikan akses kepada sumber penting seperti tanah, penjagaan kesihatan dan pekerjaan 'kuasa ke atas atau terhadap' mengekalkan ketidaksaksamaan, ketidakadilan serta kemiskinan.

Mengapakah penting untuk membangunkan cara memahami kuasa yang berbeza?

  • Apabila tiada model dan hubungan alternatif, kita akan mengulangi corak 'kuasa ke atas atau terhadap' dalam hubungan peribadi, komuniti dan dengan institusi. Hal ini juga berlaku dalam kalangan individu daripada kumpulan terpinggir atau 'tidak berkuasa'. Apabila mereka meraih kuasa melalui jawatan kepimpinan, mereka kadang kala ‘meniru tingkah laku penindas’. Hal ini dijelaskan melalui kerangka prinsip kedekatan atau proximity principle, yang menyatakan bahawa pendedahan kepada konsep kuasa ini akan akhirnya membuatkan kita mereplikasi struktur kuasa yang sama.

  • Bentuk kepimpinan baharu dan membuat keputusan mesti ditakrifkan dan diajar secara jelas serta diberi ganjaran untuk mempromosikan bentuk kuasa yang lebih demokratik. Pengamal dan ahli akademik telah lama mencari cara yang lebih kolaboratif untuk menggunakan kuasa.

  • Tiga alternatif yang kita boleh teroka ialah 'kuasa dengan', 'kuasa untuk' dan 'kuasa dalam'. Ketiga-tiga alternatif tersebut menawarkan cara positif untuk mengekspresikan kuasa yang mewujudkan kemungkinan untuk membentuk hubungan yang lebih saksama. Dengan menyokong keupayaan individu untuk bertindak secara kreatif, mereka mampu menyediakan beberapa prinsip asas untuk membina strategi lebih memperkasa individu dan komuniti.

‘Kuasa ke atas atau terhadap’ juga menghalalkan penguasaan kumpulan tertentu ke atas yang lain berdasarkan stereotaip, ideologi patriarki, ketuanan etnik atau bangsa dan sebagainya,

Kuasa dengan atau power with

'Kuasa dengan' berkait dengan mencari titik persamaan antara kepentingan-kepentingan yang berbeza dan dalam membina kekuatan kolektif.

Berdasarkan sokongan bersama, solidariti dan kerjasama, ia melipatgandakan kuasa, bakat serta pengetahuan individu dan bersama

'Kuasa dengan' boleh membantu dalam membina jambatan merentasi kepentingan yang berbeza demi mengubah atau mengurangkan konflik sosial dan menggalakkan hubungan yang saksama. Kumpulan advokasi yang mencari sekutu dan membina gabungan menggunakan 'kuasa dengan'.

Kuasa untuk atau power to

'Kuasa untuk' merujuk kepada potensi unik setiap individu untuk membentuk kehidupan dan dunia masing-masing. Bentuk kuasa ini mengiktiraf agensi atau autonomi diri.

Apabila digunakan untuk sokongan bersama, ia membuka ruang kemungkinan untuk tindakan bersama, atau penggunaan 'kuasa dengan'. Pendidikan rakyat dan pembangunan kepimpinan untuk advokasi adalah berdasarkan kepercayaan bahawa setiap individu mempunyai kuasa untuk membuat perubahan.

Kuasa dalam atau power within

'Kuasa dalam' berhubung kait dengan nilai diri dan pengetahuan diri seseorang, termasuklah kebolehan untuk mengenali perbezaan antara individu, pada masa yang sama menghormati mereka.

'Kuasa dalam' ialah keupayaan untuk membayangkan dan mempunyai harapan; ia mengesahkan pencarian manusia biasa untuk hidup dengan martabat diri dan secara bermakna.

Banyak usaha akar umbi menggunakan teknik penceritaan dan refleksi untuk membantu orang ramai mengiyakan nilai peribadi (personal worth) dan mengenali 'kuasa untuk' dan 'kuasa dengan' dalam diri mereka. Kedua-dua bentuk kuasa ini juga dikenali sebagai agensi atau autonomi, iaitu keupayaan untuk bertindak dan mengubah dunia oleh para sarjana yang menulis tentang pembangunan dan perubahan sosial.

Dimensi kuasa politik

Selain empat bentuk ekspresi kuasa di atas, terdapat juga tiga dimensi kuasa politik.

Kuasa yang boleh dilihat atau tampak

Kuasa yang boleh dilihat atau tampak ialah keupayaan untuk mengawal pilihan orang lain, mengakses kepada sumber, bersuara dalam proses membuat keputusan, dan merangka peraturan yang mengawal selia masyarakat serta mentadbir negara. Jenis kuasa selalunya dilihat, sebagai contoh di tangan pemimpin politik, polis, tentera, dan badan kehakiman. Kuasa ini juga boleh dipegang oleh pemimpin agama dan juga pemimpin-pemimpin dalam badan bukan kerajaan serta kumpulan keadilan sosial. Kuasa yang boleh dilihat menentukan siapa yang boleh mengambil bahagian - dan siapa yang dikecualikan daripada - dalam satu-satu perkara atau proses membuat keputusan di ruang awam, sebagai contoh menerusi seperti belanjawan, undang-undang, dasar. Hal ini adalah punca mengapa kepentingan dan keperluan kumpulan ekonomi dan sosial yang lebih berkuasa (berdasarkan aset atau kekayaan, kedudukan, gender, bangsa, kelas, etnik atau kasta mereka, misalnya) lebih berkemungkinan dipenuhi. Siapakah yang mendapat faedah daripada undang-undang, dasar atau keputusan sedemikian? Pengecualian dan diskriminasi yang berlaku pada skala makro atau besar, melalui instrumen seperti belanjawan, undang-undang dan dasar memberi kesan terhadap komuniti tertentu disasarkan.

Anda boleh mengubah kuasa ini melalui advokasi sebagai contoh. Proses advokasi melibatkan pelbagai teknik atau strategi, antaranya melobi, memantau, berunding, litigasi atau proses perundangan, pendidikan umum & media, kaji selidik dasar, mengundi dan bertanding untuk pilihan raya

Kuasa tersembunyi

Kuasa tersembunyi merujuk kepada mereka yang mempengaruhi keputusan atau menetapkan agenda di sebalik tabir.

Siapa yang berada di meja perbincangan dan suara siapa yang dianggap penting dan sebagai pakar atau berharga adalah penting. Hal ini membantu suara kita untuk didengari dan diangkat.

Kumpulan, individu atau organisasi yang boleh menetapkan agenda di sebalik tabir juga mengecualikan dan tidak memandang serius atau memperlekehkan perwakilan kumpulan lain yang kurang berkuasa serta kebimbangan mereka. Akibatnya, keperluan dan diskriminasi yang dihadapi oleh golongan LGBTIQ+, tidak dilihat oleh masyarakat pada umumnya dan tidak termasuk dalam agenda politik.

Kumpulan- kumpulan yang lebih berkuasa ada kalanya boleh memburukkan kumpulan yang terpinggir, sekaligus menjadikannya mustahil bagi kumpulan masyarakat tanpa sumber kewangan dan manusia atau sokongan rangkaian untuk menyuarakan isu-isu mereka dengan adil.

Selain itu, ada kalanya, mereka menghalang suara-suara dan isu-isu penting daripada mendapatkan pendengaran awam yang adil, termasuk dalam penggubalan dasar sehingga meningkatkan kerentanan, diskriminasi keganasan kepada kumpulan yang sudah terpinggir.

Antara strategi advokasi yang boleh digunakan untuk mengatasi kuasa sebegini -

  • menghasilkan dan menyebarkan analisis serta perspektif alternatif tentang isu dan politik yang didukung kumpulan-kumpulan tersebut.

  • Kembangkan hubungan dengan sekutu yang berkuasa untuk meningkatkan suara dan perwakilan sosio-politik mereka.

  • Mengerakkan komuniti untuk mengatasi kebimbangan bersama, dan menunjukkan pengaruh serta tindakan langsung secara berkumpulan.

  • Memperkukuh organisasi, gabungan, pergerakan dan pemimpin yang bertanggungjawab.

  • Penyelidikan yang melibatkan komuniti dan penyebaran maklumat, idea, imej untuk maklumat salah atau menyokong isu kumpulan yang dikecualikan.

  • Gunakan saluran media alternatif, internet atau radio untuk menyalurkan isu-isu terpinggir

Kuasa yang tidak kelihatan (invisible power)

Kuasa yang tidak kelihatan (invisible power) ialah jenis kuasa yang paling bermasalah kerana ia tidak kelihatan. Oleh yang demikian, ia selalunya merupakan bentuk kuasa yang paling sukar untuk dicabar dan dihadapi.

Kuasa yang tidak kelihatan ialah kuasa yang digunakan untuk membentuk cara orang berfikir dan melihat diri mereka (termasuklah dari segi imej diri orang, harga diri). Jenis kuasa inilah yang selalunya mewujudkan sikap sosial yang negatif dan berat sebelah, serta bagaimana keinginan dan keperluan kita dipengaruhi.

Kuasa yang tidak kelihatan ini juga mengambil bentuk dalam ideologi - salah satu bentuk kuasa tersembunyi yang paling berpengaruh. Hal ini kerana ideologi, iaitu set kepercayaan, idea dan norma yang membentuk apa yang kita percaya adalah betul dan salah, 'normal' dan 'tidak normal', 'semulajadi' dan 'bukan semulajadi'.

Antara contoh ideologi ialah patriarki atau ideologi yang mendukung ketuanan lelaki, rasisme atau ideologi kaum yang mengatakan bahawa kaum tertentu lebih bagus daripada kaum lain, heteronormativiti yang mengatakan hanya tarikan romantik dan seksual antara golongan berlainan gender sahaja adalah 'normal' atau 'semula jadi'.

Juga penting untuk diperhatikan bahawa ideologi ialah kuasa tersembunyi yang kita diajar untuk terima, ambil bahagian dalam, sokong, dan kekalkan sistem sosial yang tidak adil, walaupun ianya membebankan atau merugikan kita sendiri. Ideologi-ideologi ini sangat berpengaruh dan sebati dalam pelbagai aspek kehidupan kita. Dalam konteks individu LGBTIQ+, ideologi-ideologi ini adalah punca patologi (mengatakan golongan LGBTIQ+ adalah satu bentuk isu kesihatan mental) dan stigma terhadap mereka.

Ideologi-ideologi atau sistem-sistem kepercayaan ini bertahan, kadangkala bertahan, bukan hanya kerana pemegang kuasa dominan menguatkuasakannya, tetapi juga kerana di dalam konteks patriarki misalnya, perempuan dibesarkan dari zaman awal kanak-kanak lagi untuk menerima, tidak mencabar atau menyoal patriaki, walaupun mereka mengalami diskriminasi dan ketidaksamaan akibat patriaki.

Pembudayaan ideologi-ideologi ini menghalang orang ramai daripada mempersoalkan atau membayangkan kemungkinan berbeza untuk diri mereka secara individu, dan komuniti mereka. Selain itu, untuk mengubah hubungan tersebut atau menangani ketidakadilan. Hal ini menyebabkan kumpulan yang tidak mempunyai kuasa untuk kekal tidak berdaya atau berkuasa.

Juga penting untuk dinyatakan bahawa cara kuasa boleh dilihat digunakan secara terbuka juga memberi kesan kepada kuasa boleh dilihat secara peribadi, dan juga kuasa tidak kelihatan.

Sebagai contoh, penyelidikan oleh CERiA bersama lelaki gay Muslim mengenal pasti isu yang dikaitkan dengan keengganan mereka untuk berjumpa doktor, antaranya adalah dan stigma terhadap individu yang hidup dengan HIV dan LGBTIQ, penjenayahan di bawah undang-undang dan dasar kerajaan mengukuhkan idea bahawa orang LGBTIQ tidak akan diterima. Hal ini juga mewujudkan ketakutan untuk menyatakan identiti dan akan tangkapan sewenang-wenangnya. Tinjauan itu menunjukkan bahawa mereka kurang pengetahuan tentang HIV dan kesihatan seksual, berasa malu dan stigma untuk memperoleh kondom, isu dalaman dari segi menyalahkan diri sendiri dan rasa bersalah kerana tekanan keluarga dan masyarakat untuk berkahwin dan 'kembali ke pangkal jalan’.

Apa itu keistimewaan?

Keistimewaan ialah faedah dan kelebihan yang dipegang oleh kumpulan yang berkuasa atau dalam kumpulan majoriti, yang timbul kerana penindasan kumpulan minoriti.

Mengikut definisi keadilan sosial, keistimewaan juga merupakan kelebihan yang ada pada seseorang individu yang tidak terfikir (atau fikir selalu) kerana mereka tidak mengalami situasi penindasan atau diskriminasi tersebut. Memahaminya memerlukan usaha aktif untuk melihat sesuatu perkara daripada perspektif individu yang terpinggir.

Mengapa penting untuk memahami pelbagai wajah kuasa?

Apabila kita bercakap tentang perubahan sosial kita sering menumpukan perhatian kepada kuasa yang boleh dilihat - perubahan dari segi undang-undang, meningkatkan penglibatan perempuan dalam jawatan politik, mendakwa seseorang yang telah melakukan keganasan. Tetapi kita kurang melihat kepada kuasa tersembunyi atau tidak kelihatan (halimunan) yang beroperasi dalam situasi itu, yang selalunya mempunyai impak yang lebih besar.

Sekiranya kita ingin membawa perubahan kekal dalam struktur kuasa - atau membongkarnya sepenuhnya - kita hanya boleh melakukannya dengan berkesan sekiranya kita memahami dan mengubah kuasa tersembunyi serta tidak kelihatan yang meyokong kuasa yang kelihatan

Sebagai fasilitator atau nara sumber anda boleh meminta pandangan, contoh dan membuka ruang untuk perkongsian oleh para peserta untuk meningkatkan pemahaman para peserta berkenaan konsep-konsep yang dibincangkan

Last updated