Nota fasilitator
Bahagian ini mengandungi nota rujukan buat fasilitator.
Apa itu intersectionality?
Konsep intersectionality mula dibangunkan oleh Kimberlé Williams Crenshaw dalam penulisannya yang diterbitkan pada 1989 dan 1991.
Analisa intersectionality bermula dengan memberikan kerangka untuk memahami penindasan terhadap komuniti minoriti kaum, ras atau etnik yang bertindan dengan identiti gender mereka. Sebagai contoh, seorang perempuan kulit hitam bukan sahaja berhadapan dengan seksime di tempat kerja malah juga rasisme. Pertindanan diskriminasi dan peminggiran oleh sebab kaum, ras atau etnik dengan identiti gender seseorang menambah dimensi baharu kepada penindasan yang dihadapi oleh satu-satu kumpulan masyarakat atau individu.
Kini, analisa intersectionality telah berkembang untuk merangkumi lebih banyak identiti sosial. Sebagai contoh, kelainan upaya, orientasi seksual, agama, latar belakang ekonomi atau kelas, dan sebagainya.
Analisa intersectionality adalah untuk memahami lapisan penindasan yang berbeza berdasarkan identiti sosial yang berbeza yang bertindan dalam diri individu.
Bagaimana lensa intersectionality boleh digunakan?
Lensa intersectionality boleh digunakan dalam menganalisa situasi dan pengalaman yang dicorakkan oleh identiti-identiti sosial.
Setiap individu dibentuk oleh pelbagai identiti sosial meliputi pelbagai aspek. Sebagai contoh, sebagai manusia, antara identiti-identiti sosial yang kita ada ialah identiti gender (sama ada seseorang itu perempuan, lelaki dan sebagainya), orientasi seksual, umur, etnik, status kewarganegaraan, keupayaan fizikal dan mental, dan sebagainya.
Identiti-identiti sosial setiap individu adalah tidak sama. Pertindanan antara identiti-identiti tersebut berhubungkait secara langsung dengan pengalaman hidup individu, akses kepada peluang, maklumat, perkhidmatan dan sebagainya.
Dalam menganalisa sesuatu situasi, lensa intersectionality boleh digunakan untuk memahami impak sesuatu situasi terhadap seseorang individu atau kumpulan berdasarkan identiti-identiti sosial mereka. Selain itu, betapa pentingnya untuk menyediakan ruang dan situasi yang inklusif bagi kepelbagaian identiti-identiti sosial. Sebagai contohnya, sekiranya anda ingin menjalankan sebuah projek, bagaimanakah projek tersebut boleh dikendalikan dengan mengambil kira aspek gender dan keupayaan fizikal yang berbeza dalam menghasilkan serta membangunkan ruang yang inklusif yang tidak mengenepikan sebahagian kumpulan masyarakat?
Kenapa intersectionality penting?
Analisa intersectionality memberi peluang untuk menganalisa situasi dan memahami individu dalam lensa yang lebih inklusif. Dalam memahami diskriminasi terhadap seseorang individu atau kumpulan masyarakat, intersectionality memberi penekanan terhadap bagaimana aspek identiti individu yang bertindan mempengaruhi pengalaman hidup individu atau kumpulan masyarakat tersebut.
Sebagai contoh, individu cisgender dan transgender walaupun daripada sesuatu ras/etnik yang sama mempunyai pengalaman yang berbeza oleh sebab identiti gender mereka. Sepertimana lelaki dan perempuan cisgender daripada kelas sosio-ekonomi yang sama mempunyai pengalaman hidup yang berbeza disebabkan identiti gender mereka.
Last updated